Mahkamah khas siber ditubuh di setiap negeri

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Kerajaan akan menubuhkan mahkamah khas siber di semua negeri secara berperingkat bagi menangani jenayah siber di peringkat penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu dibuat setelah mahkamah khas siber yang pertama di negara ini mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 1 September 2016.

“Diharapkan dengan adanya mahkamah khas ini, jenayah siber dapat dikekang di samping kita akan sentiasa memperketatkan undang-undang supaya sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sangat dinamik serta semakin mencabar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rundingan Meja Bulat Peringkat Tertinggi Konvensyen Budapest Mengenai Jenayah Siber  anjuran Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di UKM Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali; Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Dean Thompson; Ketua Divisyen Jenayah Siber Majlis Eropah, Alexander Seger dan Dekan Fakulti Undang-Undang UKM, Prof. Dr. Zinatul Ashiqin Zainol.

Seminar selama dua hari itu dihadiri hampir 100 peserta dari pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan isu-isu perundangan mengenai jenayah siber di negara ini mengikut Konvensyen Budapest mengenai jenayah siber yang diperkenalkan oleh Majlis Eropah pada 2004.
Malaysia merupakan salah satu daripada  55 buah negara yang menerima pakai konvensyen itu bagi menangani jenayah siber di peringkat negara dan global.

Rumusan perbincangan ini akan dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan kerajaan meminda dan menggubal undang-undang berkaitan termasuk Akta Jenayah Komputer Malaysia 1997 serta Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.