Undang-undang berita palsu tak sama ISA zaman Tun M

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menggubal undang-undang menangani berita palsu adalah selaras dengan trend semasa, sekali gus tidak menyekat kebebasan bersuara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan akta baharu itu berlainan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tahanan tanpa bicara.

“Penggubalan kepada undang-undang ini masih belum muktamad. Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan sebelum diputuskan oleh Mesyuarat Kabinet.

“Tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Page Facebooknya, hari ini.