KENYATAAN MEDIA : UNDANG-UNDANG BERITA PALSU TIDAK SEPERTI ISA ZAMAN TUN M

PUTRAJAYA – Cadangan pembentukan Undang-undang berkaitan berita palsu seharusnya disambut baik oleh semua pihak termasuk pembangkang. Penggubalan kepada undang-undang ini dibuat berdasarkan kepada trend semasa dan kesannya yang besar terhadap negara.

2 . Saya terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pembentukan undang-undang ini untuk menyekat rakyat daripada mengkiritik Kerajaan. Dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana ini adalah isu global dan negara luar juga mengambil langkah yang sama untuk membendung isu ini. Sebagai Mantan Perdana Menteri dan juga bekas Ahli Parlimen lebih 20 tahun, Tun Mahathir seharusnya melihat usaha ini tanpa prasangka buruk kerana pindaan ini dibuat dengan niat untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

3 . Beliau seharusnya lebih rasional dalam menilai isu ini kerana penyebaran berita palsu ini dibuat dengan niat yang tidak baik dan tidak beretika malah sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk beliau sendiri. Berita palsu juga dilihat sebagai strategi perang baru yang boleh memusnahkan negara dengan hanya dihujung jari. Oleh itu langkah Kerajaan untuk menggubal undang-undang ini adalah selaras dengan trend semasa, bagaimanapun Tun Mahathir tidak perlu bimbang kerana undang-undang yang akan digubal ini tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara.

4 . Saya telah beberapa kali menegaskan bahawa penggubalan kepada undang-undang ini masih belum muktamad. Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan sebelum diputuskan oleh Mesyuarat Kabinet. Justeru adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni Kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
9 Februari 2018