KENYATAAN MEDIA : JAWATANKUASA KHAS KAJI UNDANG-UNDANG BERITA PALSU

PUTRAJAYA – Satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan Negara. Jawatankuasa itu telah bermesyuarat buat kali pertama pada minggu lalu dan telah dihadiri oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang. YAB Perdana Menteri, telah bersetuju yang jawatankuasa ini juga akan turut disertai oleh NGO berkaitan dan Ahli Parlimen agar memastikan usaha Kerajaan dalam menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak dan melalui proses perundingan bersama-sama semua pihak berkepentingan.

2. Selain Malaysia, Negara-negara lain juga kini turut berusaha mengambil pelbagai langkah dalam mengatasi isu ini termasuk merangka undang-undang baharu yang berkaitan. Buat masa ini terdapat beberapa Akta sedia ada yang digunapakai seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah diperkenalkan sejak 30 tahun dahulu. Oleh itu, adalah wajar bagi Kerajaan untuk turut meneliti sama ada peruntukan sedia ada masih boleh digunapakai untuk menangani ancaman baharu ini yang bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk cetakan dan penyiaran malah juga dalam platform media dalam talian. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berita palsu juga boleh menimbulkan rasa kebencian dan kegusaran orang awam.

3 . Sehubungan itu, perlunya ada langkah-langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu agar orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita yang tidak sahih serta memastikan keselamatan Negara terus dipelihara. Jawatankuasa Khas ini akan mengkaji undang-undang yang berkaitan dan peruntukan dalam undang-undang baharu untuk dibawa kepada pertimbangan Kabinet. Kerajaan juga berharap undang-undang baharu ini boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang akan datang.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
30 Januari 2018