PM lancar NHRAP untuk perkukuh hak asasi manusia

PUTRAJAYA 1 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) bakal menjadi landasan utuh dalam mentransformasikan usaha-usaha kerajaan bagi memperkukuhkan hak asasi manusia.

Menurutnya,  lebih membanggakan lagi,  NHRAP yang dibangunkan itu merupakan satu pelan yang komprehensif dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia.

“Malah ia selari dengan agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, melalui pendekatan bottom-up,  yang mengumpulkan pandangan,  maklum balas dan aspirasi rakyat dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran NHRAP di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Azalina Othman Said,  Peguam Negara,  Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,  Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia,  Tan Sri Razali Ismail.

NHRAP merupakan dokumen awam yang menyenaraikan pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia serta menggariskan pelan tindakan terperinci untuk dilaksanakan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia.