NHRAP penuhi aspirasi rakyat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, dokumen awam itu dihasilkan selari agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), termasuk aspek mengumpulkan pandangan, maklum balas dan aspirasi rakyat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

“Bagi mematuhi tujuan itu, NHRAP dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dengan merujuk kepada garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya berucap pada majlis pelancaran NHRAP di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Paul Low Seng Kuan; Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Perdana Menteri berkata, lima teras utama digariskan dalam dokumen NHRAP iaitu hak sivil dan politik, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, hak golongan rentan, hak asasi manusia dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Pribumi Sarawak serta kewajipan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (lima dari kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low Seng Kuan (tiga dari kanan) serta penerima-penerima buku Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan 2018 bergambar selepas majlis pelancaran di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

“Tiga mekanisme penting bakal dilaksanakan sepanjang pelaksanaan NHRAP iaitu membangunkan aplikasi mudah alih, menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi dan melantik pihak berkecuali bersesuaian untuk mengumpul maklum balas awam.

“Kejayaan NHRAP bergantung kepada sejauh mana pelaksanaan berkesan dapat direalisasikan di segenap peringkat oleh agensi pelaksana mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Najib berkata, sepanjang tempoh kepimpinannya, kerajaan berjaya melaksanakan transformasi undang-undang seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Menerusi pemansuhan ISA dan pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2012, ternyata apa juga kebimbangan kita pada masa lampau seperti Ops Lalang tidak akan berulang.

“Tindakan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 turut mendapat pujian daripada Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Perdana Menteri berkata, tiga mekanisme penting bakal dilaksanakan sepanjang pelaksanaan NHRAP iaitu membangunkan aplikasi mudah alih, menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi dan melantik pihak berkecuali yang bersesuaian untuk mengumpul maklum balas awam.

Beliau berkata, kejayaan NHRAP bergantung kepada sejauh mana pelaksanaan berkesan dapat direalisasikan pada segenap peringkat oleh setiap agensi pelaksana mengikut tempoh jangka masa ditetapkan.

“Apa yang penting, NHRAP adalah sebuah dokumen awam yang dinamik, fleksibel dan boleh ditambah baik mengikut kesesuaian serta keperluan agensi pelaksana dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, NHRAP turut mewakili pendirian Malaysia yang berprinsip di peringkat global, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa supaya berdiri sama tinggi dan setaraf dengan negara maju berjaya yang lain.

Menurutnya, NHRAP juga berupaya melonjak prestasi dan imej negara khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi, tadbir urus yang cekap dan berwibawa.

Najib juga berharap NHRAP dapat mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih prihatin, saksama dan berjiwa mulia.

“Saya berharap dapat melihat Malaysia yang lebih berjiwa mulia. Itu visi saya,” katanya.