Konsultasi pelan Tindakan Profesion Undang-Undang Malaysia dibuka

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Laporan Perbincangan Kumpulan Fokus bagi merangka Pelan Tindakan Profesion Undang-Undang di Malaysia telah dibuka secara dalam talian untuk konsultasi awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, orang awam dan pengamal undang-undang boleh melayari laman sesawang https://lpaconsultation.com.my untuk memberi input dan pandangan berkaitan masa depan profesion perundangan di negara ini.

Menurut beliau, input dan pandangan itu turut termasuk pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).

“Konsultasi awam ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mendapatkan penglibatan yang lebih ramai khusus dalam kalangan pengamal undang-undang untuk memberikan pandangan dan cadangan terhadap laporan itu.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuktikan keterbukaan Kerajaan dalam melaksanakan sebarang perubahan dasar malah ia juga sebagai langkah untuk memastikan profesion undang-undang terus berada pada standard yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azalina, antara isu utama yang dimuatkan dalam laporan ini ialah isu pendidikan undang-undang, penambahbaikan pendidikan undang-undang di Malaysia dan isu berkaitan dengan pengamal undang-undang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konsultasi-pelan-tindakan-profesion-undang-undang-malaysia-dibuka-1.618299#ixzz58r1KFBs5
© Utusan Melayu (M) Bhd