KENYATAAN MEDIA : SEKALI LAGI AHLI PARLIMEN DAP CEMAR IMEJ PARLIMEN

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga Ahli Parlimen DAP menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan menunjukkan pembangkang terdesak dan mencemar nama Dewan yang mulia. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP yang kononnya Tan Sri Pandikar Amin “sekutu untuk menutup skandal rasuah” juga sebagai satu dakwaan jahat.

2. Seperti mana semua sedia maklum perlantikan dan peranan Speaker telah termaktub di dalam Perkara 57 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan, manakala, Peraturan Mesyuarat 99 Dewan Rakyat, menyebut “Keputusan Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua Peraturan Mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad kecuali jika ada untuk sul bersendiri menentang keputusan itu. Tuan Yang di-Pertua dari satu masa ke satu masa boleh mengeluarkan petua-petua berkenaan dengan perkara itu”.

3. Speaker berhak untuk menolak apa-apa soalan atau usul yang tidak mengikut Peraturan Mesyuarat. Keputusan Speaker adalah konsisten dan adil, kepada semua ahli Dewan. Bagaimanapun, terdapat cara untuk mencabar keputusan itu dan bukannya mendesak Speaker meletak jawatan dan berprasangka buruk apabila keputusan tidak menyebelahi mereka.

4 . Menjadi amalan biasa apabila pembangkang menggunakan platform Parlimen untuk menyerang Kerajaan, namun tindakan pembangkang yang turut menyerang dan membuat dakwaan jahat terhadap Speaker dilihat sebagai terdesak dan tidak professional.

5 . Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini bahawa setiap Ahli Parimen boleh berbeza pandangan dan berpegang dengan ideologi politik masing-masing. Namun sebagai wakil rakyat mereka perlu menjaga standard sebagai “Ahli Yang Berhormat” bukannya menunjukkan tingkah laku seperti “Ahli Yang Tiada Hormat”.
DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
9 Mac 2018