KENYATAAN MEDIA : LEBIH BANYAK INPUT DARI PIHAK BERKEPENTINGAN SEBELUM DRAF UNDANG-UNDANG BERITA PALSU DIMUKTAMAD

KUALA LUMPUR – Satu sesi perbincangan bersama wakil-wakil penyedia platform media sosial (platform providers) iaitu Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube, dan Twitter telah diadakan di Parlimen semalam (12 Mac 2018). Pertemuan ini diadakan sebagai salah satu langkah untuk mendapat lebih banyak pandangan dan input daripada pemain-pemain utama bidang media baru dalam usaha Kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang mengenai berita palsu.

2.​ Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyedia platform media sosial. Turut sama dalam pertemuan ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pertemuan ini penting bagi memastikan Rang Undang-Undang yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga sebagai bukti yang Kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang.

3.​ Semalam juga berlansung satu bengkel yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Khas mengenai berita palsu telah diadakan di Asian International Arbitration Centre (Malaysia) (AIAC) bersama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan. Seperti mana yang telah ditegaskan asas utama Rang Undang-Undang ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan Negara.

4.​ Rang Undang-Undang ini juga bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa kepada berita palsu. Saya percaya Rang Undang-Undang ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini.​

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
13 Mac 2018