Lebih banyak pihak berkepentingan perlu diteliti

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih banyak input daripada pihak berkepentingan perlu dteliti sebelum draf Undang-Undang Berita Palsu dimuktamadkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya, Azalina berkata satu sesi perbincangan bersama wakil-wakil penyedia platform media sosial termasuk Google, Facebook, YouTube, Twitter dan Asia Internet Coalition telah diadakan di Parlimen semalam.

Katanya, pertemuan tersebut diadakan sebagai satu langkah untuk mendapat lebih banyak pandangan dan input daripada pemain-pemain utama bidang media baharu dalam usaha kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Berita Palsu.

“Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada penyedia platform media sosial. Pertemuan ini penting bagi memastikan RUU yang sedang digubal itu merangkumi setiap aspek.

Tindakan ini juga sebagai bukti yang kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang,” jelasnya mengenai pertemuan tersebut yang turut disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Azalina berkata, RUU ini juga digubal bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa berita palsu.

“Saya percaya, RUU ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini,” tambahnya.

Selain pertemuan bersama penyedia platform media sosial, satu bengkel mengenai berita palsu telah diadakan di Asian International Arbitration Centre (Malaysia) semalam bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, dikendalikan oleh Jawatankuasa Khas mengenai berita palsu.