Pilihlah BN bawa pembangunan, peluang ekonomi ke Pengerang

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menasihatkan rakyat di Pengerang memilih Barisan Nasional (BN) yang membawa banyak pembangunan dan peluang ekonomi serta pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Pengerang itu memberi contoh 2 projek gergasi di kawasan itu menghasilkan banyak aktiviti perniagaan dan manfaat kepada penduduk setempat.

“Di pengerang kita ada projek mega Desaru Theme Park dan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bertaraf antarabangsa. Kedua-duanya projek gergasi.

“Saya haraplah kalau rakyat di Pengerang nak memilih wakil rakyat, biarlah wakil rakyat Parlimen dan DUN yang memajukan kawasan itu.

“Kalau nak pilih pembangkang, bagi saya perhabis beras sahaja. Apa yang pembangkang boleh buat?” soalnya dalam satu sesi perjumpaan di International Arbitration Centre Malaysia (AIAC).

Azalina berkata, pihak dan penduduk setempat yang membantah projek itu pada awalnya, turut mendapat manfaat daripadanya.

“Orang yang bantah itu, banyak manfaat perniagaan di Rapid. Kampung Sungai Rengit, dia orang yang aktif berniaga buat perniagaan sampingan, menyediakan perkhidmatan air, sewa rumah dan sewa kereta. Mereka bising-bising, tetapi dapat manfaat.

“Pembangkang takkan nak bagi kredit pada kita yang lakukan projek mega sebab sudah menjadi sebutan dunia. Takkan mereka nak iktiraf.”

Pengerang adalah pekan kecil di daerah Kota Tinggi, Johor dan terletak kira-kira 20km dari Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Azalina menang dengan majoriti 22,508 undi menewaskan calon PKR, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid.

Pada PRU13, terdapat 37,999 pengundi berdaftar di kerusi Parlimen Pengerang. Pengundi Melayu paling ramai iaitu 88%, Cina 10% dan kaum lain 2%.

Sementara itu, Azalina berkata, beliau tidak yakin dengan tinjauan Invoke Malaysia yang meramalkan 5 negeri, termasuk Johor bakal ditawan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak yakin. Saya boleh taruh dengan invoke, Johor akan menang besar,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Pengasas Invoke yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa pakatan pembangkang itu mampu menang di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor.

Rafizi mendedahkan PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia berbanding 76 kerusi Parlimen yang mampu dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.

Ramalan itu bagaimanapun tidak mengambil kira Sabah dan Sarawak.