KENYATAAN MEDIA : KABINET LULUS RANG UNDANG-UNDANG ANTIBERITA TIDAK BENAR

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang AntiBerita Tidak Benar telah dibentang dan diluluskan di Kabinet hari ini. Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang ini dicadang dibuat di Dewan Rakyat pada minggu hadapan. Sesi Taklimat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang juga akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung Rang Undang-Undang ini.

2. Pembentukan Rang Undang-Undang ini adalah bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan-kesalahan berhubungan dengan penyebaran berita tidak benar dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar. Rang Undang-Undang ini digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar. Walau bagaimanapun, Rang Undang-Undang ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

3. Justeru, Kerajaan juga berharap semua pihak menerima baik Rang Undang-Undang ini serta tidak mempolemikkan isu ini lagi. Pada masa yang sama, Rang Undang-Undang ini juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan Negara.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
21 Mac 2018