Kabinet lulus RUU AntiBerita Tidak Benar

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) AntiBerita Tidak Benar yang dibentangkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bacaan kali pertama RUU itu dicadang dibuat di Dewan Rakyat pada minggu depan.

“Sesi taklimat bersama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang juga akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung RUU ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Azalina berkata, pembentukan RUU itu bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan berhubung penyebaran berita tidak benar dan langkah bagi mengekang berita tidak benar.

“RUU ini digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar.

“Bagaimanapun, RUU ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagai mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, kerajaan berharap semua pihak menerima baik RUU terbabit serta tidak mempolemikkan isu itu lagi.

“Pada masa sama, RUU ini akan memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.