KENYATAAN MEDIA : RUU ANTIBERITA TIDAK BENAR 2018 BERSIFAT QUASI CRIMINAL

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 telah diluluskan di Dewan Negara hari ini. RUU ini dianggap kontroversi berikutan terdapat dakwaan kononnya penggubalan RUU ini dibuat susulan PRU ke-14 makin hampir serta Kerajaan mahu menyekat kebebasan bersuara dan bercakap rakyat.

2. Ingin saya tegaskan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana perkara ini adalah isu global dan beberapa negara luar seperti Jerman, Singapura, Perancis, Republik Czech termasuk Kesatuan Eropah juga telah dan sedang mengambil langkah yang sama bagi membendung penyebaran berita tidak benar. RUU ini digubal dengan tujuan untuk melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

3. RUU ini adalah berpaksikan rakyat dan bersifat quasi criminal, dimana memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan berita tidak benar, RUU ini juga memberi peluang kepada semua orang untuk mendapat perlindungan melalui permohonan perintah mahkamah sebagaimana terdapat dalam Bahagian III RUU daripada penyebaran berita tidak benar.
4. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini. Bagaimanapun, saya berasa kecewa apabila ada beberapa Ahli Parlimen pembangkang membazirkan peluang perbahasan untuk mengelirukan Dewan dengan mendakwa RUU ini bersifat draconian. Dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana RUU ini digubal untuk kemashalatan semua dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

5. Saya juga telah menjawab segala isu yang dibangkitkan di Dewan yang mulia ini, justeru saya berharap semua pihak berhenti mempolemikkan RUU ini lagi. Malah usaha Kerajaan ini juga selaras dengan Titah Yang Di-Pertuan Agong semasa ucapan pembukaan Dewan yang mulia ini untuk mengekang penyebaran berita palsu, kerana ia akan memberi pengaruh negatif kepada rakyat.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
3 APRIL 2018