Isu - Kanak-kanak

H: Hentikan! Tambah Baik Kelompongan Akta 762

Budak Empat Tahun Dirogol Suami Pengasuh, Abang Ipar Rogol dan Liwat Adik Isteri, ini antara kes-kes terbaru yang dilaporkan media minggu lalu. Saya amat yakin banyak lagi kes yang tidak dilaporkan masih berlaku di sekeliling kita. Isunya masih sama jenayah seksual terhadap kanak-kanak masih berleluasa dan si pemangsa sentiasa mencari peluang tanpa mengira siapa sehingga tergamak menjadikan mahrammya sebagai mangsa.

Saya sentiasa mengikut rapat isu-isu berkaitan kanak-kanak khususnya dalam isu jenayah seksual serta eksploitasi terhadap kanak-kanak, sebab itulah saya acap kali membangkitkan soal penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak di Malaysia. Saya tidak bercadang untuk mengulas lebih lanjut mengenai Suruhanjaya ini kerana saya amat berharap agar Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menterinya, YB Hannah Yeoh terus berpegang kepada janjinya yang Suruhanjaya ini akan terlaksana tidak lama lagi.
Namun begitu, isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak jangan sesekali dibiarkan atau dipandang remeh. Walaupun kini kita telah ada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh menghukum si pemangsa, namun masih ada kelompongan yang perlu ditambah baik.

Menurut statistik terbaru Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) menunjukkan peningkatan kes 20.3 peratus dengan jumlah 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding tempoh sama tahun 2017. Berdasarkan statistik itu kanak-kanak berusia antara 13 hingga 15 tahun menjadi mangsa paling ramai si gila seks. Lebih tragis lagi apabila statistik itu mendedahkan bayi berusia 9 bulan juga menjadi mangsa di pedofilia sehingga mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia. Statistik itu turut mendedahkan daripada 639 kes jenayah seksual kanak-kanak, sebanyak 73.4 peratus kes adalah didalangi oleh individu yang dikenali mangsa.

Isu ini amat membelenggu saya, rata-rata wanita dan ibu-ibu diluar sana. Apakah persekitaran kanak-kanak di Malaysia sudah selamat? Saya tahu yang kementerian dan agensi bertanggungjawab sentiasa melakukan pelbagai inisiatif dalam menanganni isu ini. Namun peningkatan peratusan kes tersebut membuktikan bahawa perlu ada kerja keras dan perubahan yang drastik dibuat oleh Kementerian dan pihak bertanggungjawab untuk membendung masalah ini, dengan hanya Akta 792 sahaja tidak cukup. Perubahan dasar serta pelaksanaan SOP perlu dibuat dengan lebih komprehensif dan terkini agar selaras dengan perkembangan semasa.

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk menyertai bengkel “Strengthening Legal Frameworks to Protect children from Sexual Exploitation in Travel and Tourism” yang dianjurkan oleh ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) dengan kerjasama ECPAT International di Pattaya, Thailand. Pada bengkel tersebut pelbagai isu telah dibincangkan khususnya dalam isu kanak-kanak dan Kerajaan Malaysia juga dipuji dalam bengkel tersebut berkaitan usaha-usaha yang telah diambil dalam memberi perlindungan terbaik kepada kanak-kanak khususnya dalam usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Antara yang mendapat perhatian adalah komitmen Kerajaan terdahulu dalam menggubal Akta 792 sehingga diluluskan sebulat suara di Parlimen selepas melalui perbabasan selama 15 jam. Malah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang pertama di Asia Tenggara juga telah ditubuhkan sehingga berjaya menyelesaikan ratusan kes selepas enam bulan penubuhannya.

Perjuangan ini belum berakhir, walau kini saya telah duduk di kerusi Pembangkang, namun saya terpanggil untuk berkongsi mengenai langkah-langkah yang boleh ditambah baik oleh Kerajaan dalam memberi perlindungan yang terbaik kepada kanak-kanak, cadangan-cadangan ini juga telah saya bawakan dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 19 Mac lalu. Antaranya;

  • memberi kebenaran  untuk melantik  mana-mana Mahkamah Sesyen sebagai Mahkamah Khas untuk Kesalahan Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak (melalui undang-undang bertulis);
  • memastikan agar pihak Mahkamah, Pendakwa Raya dan Polis untuk melantik pakar di mahkamah;
  • memastikan agar pihak Mahkamah, Pendakwa Raya dan Polis perlulah  memberikan  Arahan amalan berterusan/SOP untuk mengendalikan jenayah seksual dari semasa ke semasa;
  • memastikan pihak Mahkamah, Pendakwa Raya dan Polis agar membangunkan kursus latihan  yang khusus, dan diwajibkan bagi sesiapa yang diletakkan  sebagai pakar dan/atau ditugaskan ke Mahkamah Khas;
  • seksyen khusus yang baharu mengenai Perkhidmatan Sokongan Mangsa/Saksi;
  • seksyen khusus yang baharu mengenai Pampasan untuk Mangsa Kanak-kanak yang memerlukan mahkamah untuk mempertimbangkan pampasan dalam semua kes jenayah seksual kanak-kanak,  membenarkan pampasan oleh kanak-kanak, mentakrifkan secara meluas kecederaan/kos yang mungkin diberi pampasan, dan memberi keutamaan untuk pampasan berbanding pembayaran denda dan kos mahkamah;
  • seksyen khusus yang baharu bagi  mewujudkan Dana Mangsa Jenayah Kanak-Kanak untuk membiayai perkhidmatan sokongan mangsa/saksi; dan
  • mempertimbangkan  kemungkinan dan model terbaik untuk memperkenalkan Tabung Pampasan Mangsa yang dibiayai oleh Kerajaan.

Selain itu, saya juga telah mencadangkan pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) dibuat bagi meminda takrif “saksi kanak-kanak” kepada seseorang di bawah 18 tahun; menambah pilihan untuk keterangan pra-rakaman (yang bertauliah); menambah seksyen baharu yang memerlukan mahkamah untuk tidak membenarkan soalan yang tidak wajar ditanya kepada kanak-kanak; dan menambah seksyen yang membenarkan Mahkamah atas usul mahkamah sendiri atau atas permintaan pihak pendakwa raya untuk menjalankan pendengaran pra-perbicaraan dan memberi arahan mengenai cara memberi Keterangan oleh kanak-kanak.

Pindaan-pindaan ini saya rasakan perlu diteliti dan diberi perhatian oleh pihak KPWKM memandangkan terdapat ruang yang perlu ditambah baik agar mampu memberi perlindungan yang terbaik kepada kanak-kanak di negara ini sekaligus mengangkat imej Malaysia dalam isu pelindungan terhadap kanak-kanak. 

Dalam masa yang sama, saya juga menyambut baik tindakan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPWKM yang melancarkan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) yang berkuatkuasa pada 1 April 2019. Dikatakan sistem berkenaan mempunyai lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Februari 2019 mengikut Akta 792.

Kerja keras dan komitmen Kerajaan hari ini diperlukan bagi memastikan isu ini mampu dibendung kerana mangsa jenayah seksual akan mengalami trauma sepanjang hayat jika tidak dipulihkan atau mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ini melibatkan generasi masa depan yang juga asset kepada negara. Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama menghentikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

AZALINA OTHMAN SAID
AHLI PARLIMEN PENGERANG
8 April 2019

Total Page Visits: 362 - Today Page Visits: 1
Tags: , ,

Related Articles

No results found.

Menu