Berita Umum

KUMPULAN RENTAS PARTI PARLIMEN MALAYSIA (KRPPM) DITUBUHKAN BAGI MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU KESESAKAN PENJARA SEMASA TEMPOH PENULARAN COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Satu Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Penambahbaikan Penjara dan Pusat Tahanan yang bertujuan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik berkaitan prasarana penjara dan sistem tahanan negara telah ditubuhkan pada hari ini. Manakala, mesyuarat pertama bagi tujuan penubuhan KPPRM ini telah berlangsung pada 9 Disember 2020 bersama 5 Ahli Dewan Rakyat dan 2 Ahli Dewan Negara, pihak-pihak berkepentingan dan juga Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA), Universiti Malaya selaku Sekretariat.

2. Penubuhan KRPPM ini tepat pada masanya memandangkan kadar yang dijangkiti wabak pandemik global COVID-19 di penjara mencatat angka yang tinggi iaitu lebih 7000 kes tidak termasuk 560 kes yang dilaporkan menjangkiti para kakitangan penjara. Selain daripada itu, jumlah banduan di dalam penjara yang melebihi kapasiti penjara juga amat membimbangkan dan memerlukan perhatian dan tindakan segera untuk diselesaikan.

3. Alhamdulillah, usaha ini mendapat kerjasama dan keazaman pelbagai pihak terutamanya YB Senator Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara (YPDN) yang pada hari ini telah mempengerusikan perbincangan mengenai isu penambahbaikan penjara dan pusat tahanan dalam tempoh COVID-19 yang dilihat semakin menular buat masa ini. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB YPDN atas kesudian dan keprihatinan beliau untuk mendepani isu ini dengan penuh keazaman bagi mencari jalan penyelesaian terpantas dan terbaik.

4. KPPRM menyambut baik cadangan YB YPDN untuk menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang akan terdiri daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara bersama demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya. Penubuhan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 79 (Dewan Negara) ini merupakan julung-julung kalinya dalam sejarah institusi Parlimen Malaysia.

5. Ucapan penghargaan ini turut disampaikan oleh seluruh Ahli KPPRM yang merangkumi Ahli-Ahli Dewan Rakyat iaitu YB Batang Lupar, YB Cameron Highland, YB Permatang Pauh dan YB Sepanggar serta Ahli-Ahli Dewan Negara iaitu YB Senator Liew Chin Tong dan YB Senator Dato’ Sri Vell Paari.

6. Akhir sekali, saya selaku Pengerusi KPPRM juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman dari Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA), Universiti Malaya selaku Sekretariat kepada KPPRM yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

10 Disember 2020

AZALINA OTHMAN SAID

TIMBALAN SPEAKER DEWAN RAKYAT

AHLI PARLIMEN PENGERANG

Total Page Visits: 1030 - Today Page Visits: 1

Related Articles

THE “CONFIDENCE” DEBACLE
Right to Hire, No Right to Fire
Menu