Parlimen Pengerang

Info Pengerang

Pengerang, terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Johor Bahru yang mana sebahagian besar kawasannya, iaitu 70 peratus adalah tanah rancangan FELDA sementara 30 peratus adalah kampung tradisional.

Aktiviti utama penduduk Pengerang ialah pertanian dan perikanan dan tarikan utama pelancong ialah pusat peranginan Desaru. Bagaimanapun, sebelum ini pada waktu malam tidak ada banyak aktiviti berlaku dan ianya agak sunyi.

Pengerang telah bertukar wajah mulai 2013 apabila Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) di kawasan seluas 8,000 hektar, dimulakan.

Kompleks itu akan menempatkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang dimajukan oleh Petronas dan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas oleh Kumpulan Dialog dan Royal Vopak dan Setiausaha Kerajaan Johor Diperbadankan (SSI).

Apabila kedua-dua projek itu siap dan memulakan operasi masing-masing pada 2017, Pengerang berubah wajah sebagai hab minyak dan gas terkemuka di Asia Pasifik dan setanding dengan hab-hab minyak dan gas antarabangsa yang lain.

Untuk RAPID, Petronas dilaporkan melabur sebanyak RM60 billion untuk membina dua buah pusat penapis minyak yang dapat menghasilkan 450,000 tong sehari dan perekah nafta sebanyak 3.8 juta tan setahun. Perlaksanaan RAPID dan Terminal Petroleum Laut Dalam membuka banyak peluang pekerjaan.

Dengan siapnya Lebuhraya Senai-Desaru yang melintasi Sungai Johor, ia memudahkan laluan ke kawasan itu. Kini, perjalanan dari Desaru ke Johor cuma mengambil masa yang lebih singkat, sekaligus membantu meningkatkan industri pelancongan di sekitar Desaru dan Pengerang.

Kedua-dua projek RAPID dan Terminal apabila siap kelak akan mewujudkan rangkaian ekonomi yang besar kepada penduduk. Sejajar dengan pembangunan RAPID, Kerajaan telah menaiktaraf kemudahan awam termasuk jalan raya, sistem pengangkutan awam, bangunan, sekolah, masjid, tempat ibadat dan lain-lain.

Selain daripada projek RAPID, Pengerang juga akan terus membangun dengan projek Desaru Coast yang sedang giat dijalankan melalui pelaburan bernilai tidak kurang RM3 bilion. Di bawah projek Desaru Coast ini, sebanyak 10 tarikan utama bertaraf dunia akan meletakkan Pengerang di peta dunia seperti Hard Rock Hotel, Anantara Resort & Villa, One & Only, Adventure Waterpark dan lain-lain lagi.

Para penduduk sekitar akan menerima manfaat limpahan ekonomi daripada projek-projek mega ini melalui peluang pekerjaan dan perniagaan dan peningkatan nilai tanah dalam Parlimen Pengerang.

Mengikut persempadanan Parlimen, dua Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah parlimen Pengerang, iaitu Tanjung Surat dan Penawar. Parlimen Pengerang mempunyai 39 949 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu majoriti adalah melayu, iaitu 97.88% (39,102), Cina 8.74% (3,491), India 1% (332) dan lain-lain 1% (288).

Menu